Sabtu, 7 Disember 2013

BABA 40

“Wei.. kau kenal tak siapa minah tu?” lelaki bernama Syariff itu menjerit agak kuat di lubang telinga Fadhil.
“Mana?” soal Fadhil pantas apabila temannya itu menyebut tentang ‘minah’ bermakna perempuan. Itu dia memang pantang besar! Mesti lekas ambil tahu.
“Tu yang tengah high kat tengah tu.” Syariff memuncungkan bibirnya ke tengah lantai tarian kelab malam itu. Tajam benar matanya memerhatikan gelagat gerangan manusia yang dipanggil Minah itu dalam suasana di dalam situ agak kabur. Sudahlah kabur.. padat pula dengan manusia yang ada masalah kesukaran tidur malam dan yang suka pada tempat sesak.
Fadhil terus memerhatikan lantai tarian itu agak lama. Setelah beberapa ketika dia memandang barulah gerangan si Minah dapat dicamkannya. “Suria..” ucapnya spontan dan agak terkejut. Sudah lama dia tidak melihat gadis itu.
“Tu Suriakan? Kawan sekolah kita dulu.” Syariff turut menyebut nama yang sama.
“Kawan? Takde maknanya dia tu aku nak panggil kawan.” Fadhil mencemuh tanpa dapat mengalihkan pandangannya darpada tubuh yang sedang terliuk lentok kemabukan. Dia masih tidak lupa gelaran demi gelaran yang pernah dilemparkan Suria kepadanya. Gemuk.. badak air.. gendut.. semua itu sudah masak di telinganya.
“Kita tegur dia nak?” ajak Syariff. Sudah lama dia tidak bertemu Suria semenjak kebelakangan ini. Dia sendiri tidak tahu apa perkembangan Suria yang terkini. Namun rupa paras Suria memang tidak jauh berubah walaupun gaya sudah terlalu jauh mengikut cara wanita barat.
“Tak nak aku! Karang dia malukan aku lagi. Bagi suwei aja bercakap dengan dia tu!” Fadhil pantas menolak. Untuk apa berbasi basa dengan perempuan itu? Buang karan aja!
“Relaxlah kawan.. kisah lama buat apa nak ungkit lagi?” usik Syariff lantas ketawa kecil. Dia tahu Fadhil masih terasa hati dengan semua perbuatan Suria ketika di zaman sekolah mereka dahulu. Walaupun sudah cukup lama meninggalkan alam persekolahan namun mana mungkin semua itu dapat dilupakan Fadhil. Walaupun semenjak hidup di kota besar ini fizikal Fadhil sudah tidak sebulat dulu. Mungkin angkara perencah mee segera Fadhil berubah menjadi seramping sekarang.
“Kau senanglah cakap. Dia bukannya ada kacau kau. Aku ni dah jenuh kena buli dengan dia dulu!” tempelak Fadhil bengang. Hilang moodnya untuk bergembira apabila ternampak ‘Minah’ itu.
Syariff ketawa kecil. Bahu Fadhil ditepuknya perlahan. “Inilah masanya kau nak ambil balik maruah kau dari dia. Dia tengah lalok tu. Senang nak ayat. Lagipun otak tengah mereng macam tu bukannya dia cam kau sangat pun!” Syariff segera membisikkan hasutan dengan cukup lembut. Dia juga sebenarnya tidak suka lagak Suria ketika di sekolah dahulu. Malahan ketika keluarga Suria ditimpa mala petaka iaitu saat ayah Suria meninggal dunia dia antara orang yang bertepuk tangan meraikan mala petaka itu. Langsung tidak terdetik rasa simpatinya melihat nasib Suria.
 Fadhil mula memandang Syariff. Ada kerdipan penuh makna diberikan Syariff kepadanya. Malah matanya bagaikan sudah terlihat kelipan mentol menyala di atas kepala Syariff di antara dua tanduk yang tiba-tiba muncul. Dia mula tersenyum, tertarik dengan idea itu.
“Aku panggilkan kejap. Kau tunggu sini.”
Fadhil akur sahaja lantas membiarkan Syariff berlalu. Sambil itu perhatiannya dipusatkan kepada Syariff yang mula mendekati Suria yang masih hayal dan hanyut di lantai tarian berseorangan. Perlahan-lahan Syariff mendekati Suria. Buat seketika mereka menari berdua. Suria kelihatan amat mudah melayan Syariff. Entahkan dia kenal entahkan tidak Suria dengan Syariff, Fadhil sendiri tidak tahu. Tapi apa yang pasti jika Suria mudah percaya kepada lelaki asing maka semakin mudahlah dia untuk merencanakan sesuatu istimewa buat gadis itu. Di kampung gadis itu memang hebat. Tetapi sekarang mereka bebas dengan cara hidup di Kuala Lumpur. Gadis itu sekadar sebutir pasir tenggelam di dalam ribuan pasir yang lain. Tiada kelebihan lagi!
“Kau tahulah nasib kau lepas ni, Suria! Aku akan buat sampai kau menyembah kat hujung kaki aku!” desis hati Fadhil penuh dendam.
15 minit kemudian gadis itu sudah berjaya ‘dipukat’ oleh Syariff. Suria berjalan dengam liuk lentok menggodanya ke arah meja Fadhil. Wajah itu cukup ceria tanda sedang berhiburlah sangat! Langsung dia tidak sedar bot pukat yang sedang menunggu untuk membawa dia ke suatu tempat untuk disiang dan dilapah. Fadhil tersenyum puas hati melihat usaha sahabatnya itu berjaya.
Setelah menogok lagi beberapa gelas minuman keras, Suria semakin tidak sedar akan sekelilingnya. Dia layu di kerusinya akibat penangan dadah khayal dan arak. Syariff dan Fadhil saling berpandangan dengan senyum gembira. Tika yang dinantikan nampaknya sudah pun menjelma. Lalu gadis itu dibawa pergi tanpa menunggu lagi.
Apa yang berlaku selepas itu Allah akan menjadi saksinya manakala malaikat di sebelah kiri akan mencatatnya untuk sama-sama di saksikan di hadapan Allah nanti. Nauzubillah.. semoga mereka bertaubat akhirnya.

“Janganlah, abang. Sudahlah tu..” Qay tergelak kuat sambil menolak wajah lelaki itu jauh daripadanya.
“Tengok tu? Kedekut!” rengus Hadi sambil merenung isterinya tajam.
“Kedekut apanya? Lemaslah..” keluh wanita itu sambil menolak tubuh lelaki itu dari atas tubuhnya.
Hadi mula mengalihkan tubuhnya. Dia berbaring di sebelah wanita itu. Namun tubuh berbalut comforter itu dipeluknya lagi. “Abang tengok Qay macam pucat aja sekarang. Qay sihat ke?” soal Hadi perlahan.
“Sihat..” jawab wanita itu dalam mata yang terpejam. Lengan lelaki itu diusap manja. Senang hatinya dengan perhatian lelaki itu.
“Emm.. habis tu kenapa? Kita nak dapat baby ke?” soal Hadi dengan suara separuh tenggelam di sebalik tubuh wanita itu.
Qay terus ketawa. “Pandai ajalah dia ni. Mana ada nak dapat baby tu semua!” degus Qay pantas. Wajah lelaki di sisinya itu dipandang seketika sebelum menyambung tawanya.
“Ye ke? Kenapa pulak takde?” duga Hadi mesra.
“Jangan nak mengarutlah, abang. Takde mananya Qay mengandung. Qay takde rasa apa-apa pun sekarang ni. Semuanya okay je,” ucap Qay selamba.
“Hmm.. nampaknya kenalah usaha lebih keras lagi. Barulah Inas boleh ada adik,” ujar Hadi sambil menelentang memandang ke atas.
“Tadi dah usaha cukup. Enough for tonight! I’m so tired now,” balas Qay selamba. Selimut yang membaluti tubuhnya ditarik tinggi sambil memejamkan mata. Malas dia mahu melayan ragam suaminya itu lagi. Kalau dilayan mahu sampai ke subuh dia tidak dapat tidur.
“Tengok tu? Cepatnya nak tidur.” Hadi mendecit perlahan. Wanita itu kembali dipeluknya. “Abang belum mengantuk ni. Kita sembanglah kejap,” pujuk Hadi dengan suara mula mendayu-dayu.
“Pergilah tengok tv. Qay letih sangat ni, abang. Dah tak larat nak berborak lagi. Bagilah Qay rehat sekejap,” rayu wanita itu lembut.
“Sayang..” pujuk Hadi lagi.
“Apa?” balas Qay mula lemah. Wajah lelaki itu kembali dipandangnya.
Melihat wanita itu kembali memandangnya Hadi tidak membuang masa. Tubuh itu ditarik dekat kepadanya.
“Peluk abang dulu. Baru boleh tidur,” bisiknya lembut. Dahi wanita itu dikucupnya penuh kasih sayang. Bukan sekadar hubungan seksual yang dimahukannya daripada wanita ini. Tapi dia tidak mahu membiarkan ada ruang kekosongan mencelah antara mereka.
Qay tersenyum manis kepada suaminya itu. pelukan lelaki itu terus dibalas erat. “Hanya di sinilah tempat yang paling selesa dan selamat untuk Qay, abang. Qay Cuma nak tidur dalam pelukan abang setiap hari. Macam ni..” bisik Qay asyik. Kehangatan tubuh lelaki itu membuatkan dia semakin selesa di bawah kedinginan aircond bilik tidur itu.
“Kalau macam tu jangan pergi jauh dari abang lagi,” balas Hadi lantas mencium rambut isterinya itu. Harumannya membuatkan dia terpesona lagi buat kesekian kalinya.
Qay menggeleng perlahan. “Percayalah.. ke mana pun Qay pergi, akhirnya Qay akan kembali pada abang semula. Qay tahu semua ni takkan sama lagi nanti. Tapi Qay nak lalui keadaan ni seadanya.”
“Love you so much, baby..” bisik Hadi tidak tertahan.
“Love you too, darling. Very much!” wanita itu membalas penuh kepasrahan. Tiada kalimat yang lebih manis di telinga saat ini melainkan ucapan kasih dari suami tersayang. Selagi ada peluang dia mahu terus mendengarnya. Dia tidak akan jemu. Sama sekali tidak! Kerana dia tahu akan sampai masanya Hadi terpaksa mengucapkan kalimah itu kepada wanita lain juga.

Masin mulut Hadi..
Alat ujian kehamilan itu dipandang Qay berkali-kali untuk memastikan apa yang dilihatnya itu tidak tersilap. Dua garis yang timbul membuatkan dia yakin. Memang benar kata suaminya beberapa hari yang lepas. Dia hamil. Qay tersenyum memandang wajahnya dicermin. Dia tidak pernah merancang untuk mendapat cahaya mata lagi. Tetapi berita ini memang benar-benar menggembirakan.
“Kenapa?” soal Hadi tatkala ternampak isterinya tersenyum sebaik sahaja keluar daripada kamar mandi.
Qay sekadar menggeleng. “Pergilah mandi cepat.”
Hadi sempat mengerut kening memandang gelagat wanita itu. namun mengenangkan dia mahu ke pejabat sekejap lagi dia terus masuk ke bilik air. Tidak sampai 5 minit kemudian dia kembali keluar.
“Qay ada nak cakap apa-apa dengan abang ke?” soal Hadi sambil memandang belakang isterinya itu.
“Qay nak pergi klinik pagi ni,” ucap Qay lantas tersenyum manis.

Bicara itu turut disambut oleh senyuman daripada Hadi. Namun senyum itu mula berganti tawa gembira. Ya Tuhan.. berita di awal pagi itu benar-benar memberikan dia sinar rahmat kepada hidupnya. Ikutkan hati tubuh isterinya itu mahu dipeluknya. Namun menyedari Qay mahu bersolat subuh dia terpaksa membatalkan hasratnya.

2 ulasan:

berilah komen yg mampu membina saya supaya menjadi lebih baik dari semalam.